Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam
buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT berfirman maksudnya : “Dan barangsiapa yang mengagungkan
peraturan-peraturan suci dari Allah, maka itulah yang terbaik baginya di
sisi Tuhannya.” (Surah al-Haj ayat Ayat 30)
Sabda Rasulullah SAW :
لَحَدٌّ يُقَامُ فِيْ الأَرْضِ أَحَبُّ إِلَى أَهْلِهَا مِنْ أَنْ يُمْطَرُوْا ثَلاَثِيْنَ صَبَاحًا
Maksudnya : "Hukum hudud yang dilaksanakan di muka bumi adalah lebih
baik bagi penduduk bumi dari mereka diberi hujan tiga puluh pagi."
(Hadis Riwayat An-Nasa-ie , dari Abu Hurairah , Sahih Ibnu Majah no;
2057, Ibnu Majah 2/848 no : 2538)
Terdapat celaan yang keras bagi mereka yang tidak melaksanakan hukum selari dengan hukum Allah Subhanahu Wa Taala.
Allah Subhanahu Wa Taala telah berfirman:
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ
Maksudnya : "Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang
diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir. "
(Surah al-Maidah (5) ayat 44)
Firman Allah Subhanahu Wa Taala :
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Maksudnya : "Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang
diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang
zalim."(Surah al-Maidah (5) ayat 45)
Firman-Nya lagi :
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya : "Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang
diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik."
(Surah al-Maidah (5) ayat 47)
Ayat-ayat tersebut, meskipun diturunkan berkenaan kaum Yahudi dan
Nasrani, namun tidak terhad ke atas mereka semata-mata kerana ungkapan
ayat tersebut bersifat umum. Perkataan "man" menunjukkan bahawa ia
makna umum, dan tidak dikhususkan kepada kelompok tertentu. Sedangkan
dalam kaedah yang rajih ada dinyatakan:
الْعِبْرَةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ
"Berlakunya hukum dilihat dari keumuman lafaz, bukan pengkhususan sebab."
Oleh kerana itu ketiga-tiga ayat tersebut bersifat umum, merangkumi
kesemua golongan yang tidak berhukum dengan hukum Allah Subhanahu Wa
Taala.
Kesimpulan ini juga dinyatakan oleh Ibnu Masud, al-Nakhai, Ibnu
Abbas, Ibrahim, al-Hasan, al-Sudi, Fakhruddin al-Razi, Ibnu Athiyyah,
al-Qinuji, al-Samarqandi, dan Mahmud Hijazi.
Sungguhpun bersifat umum, namun tidak bererti semua orang yang tidak
memutuskan perkara dengan hukum Allah itu tergolong sebagai kafir.
Penilaian secara lebih teliti perlu dilakukan agar tidak termasuk dalam
perbuatan takfir (mengkafirkan) yang tidak kena pada tempatnya.
Perbuatan berhukum dengan hukum Allah terangkum dalam wilayah syariah.
Secara syarie, perbuatan tersebut termasuk dalam hukum yang wajib.
Ketetapan hukum ini didasarkan kepada dalil-dalil yang qatie (pasti,
tanpa membawa sebarang maksud yang lain), sama ada ia adalah qatie
tsubut (sumbernya yang pasti) mahupun qatie al-dalalah (maknanya yang
pasti).
Dalil-dalil sedemikian banyak dinukilkan dalam al-Quran dan
as-Sunah. Dalil-dalil yang membawa kepada kesimpulan hukum yang wajib
antara lain adalah:
1. Adanya perintah yang tegas untuk berhukum dalam sesuatu perkara
dengan apa yang diturunkanNya dan larangan mengikuti hawa nafsu kaum
kufar .
Lihat : Surah al-Maidah (5) ayat 48 dan 49.
2. Kewajipan mentaati Allah Subhanahu Wa Taala dan Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wassalam serta mengembalikan semua perkara yang
diperselisihkan kepada kedua-duanya . Lihat : Surah an-Nisa (4) ayat
59).
3. Penafian iman orang yang enggan berhukum dengan ketetapan
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. Lihat : Surah an-Nisa (4) ayat
65.
4. Ancaman ditimpakan fitnah atau azab pedih bagi mereka yang
menyimpang daripada perintah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam.
Lihat : Surah an-Nur (24) ayat 63.
5. Celaan terhadap orang yang membuat keputusan dengan berhukum kepada taghut.
Lihat : Surah an-Nisa (4) ayat 60.
Dan sebahagian besar dalil-dalil yang lain.
Sahabat yang dimuliakan,
Maka adalah tidak menghairankan jika hakikat kewajipan berhukum
dengan hukum Allah Subhanahu Wa Taala ini termasuk dalam kategori
"malum min al-din bi al-dharurah" (perkara yang telah sedia maklum
sebagai sebahagian daripada deen kerana keutamaannya).
Sebagai perkara yang termasuk dalam wilayah syariah, maka perbuatan
meninggalkan kewajipan ini akan dikategorikan sebagai perbuatan yang
berdosa. Sungguhpun demikian, perlanggaran tersebut tidaklah membawa
kepada tergelincirnya keimanan atau status keIslaman seseorang.
Perlanggaran sebegini samalah halnya seperti memakan riba, membunuh,
mencuri, atau berzina. Sememangnya perbuatan-perbuatan tersebut
termasuk dalam kategori dosa besar.
Namun, perlanggaran tersebut tidaklah mengeluarkan seseorang itu
daripada agamanya. Pelakunya juga tidak sewajarnya digelar sebagai
seorang murtad kerana perbuatan tersebut. Jatuhnya kafir ataupun murtad
hanya terjadi apabila seseorang itu mengingkari (ataupun menafikan)
hukum-hukumNya (dari segi keyakinan). Atau pun seseorang mengatakan
hukum-hukum Allah SWT tidak sesuai lagi dilaksanakan dalam masyarakat
majmuk.
Apabila ia mengingkari wajibnya berhukum dengan syariah, (hatinya
juga tidak yakin terhadap hukum-hukum Allah ) maka penafian tersebut
boleh menyebabkannya terkeluar daripada Islam atau dalam kata lain, ia
menjadi kafir.
Status kafir atau murtad yang jatuh ke atas seseorang itu bukan
disebabkan oleh tindakannya tidak berhukum dengan hukum Allah
(syariah), sebaliknya disebabkan oleh penafiannya terhadap sesuatu
ketetapan yang telah dinukilkan dalam al-Quran dan as-Sunnah secara
qatie. Sama juga apabila seseorang mengatakan tidak wajib menutup
aurat dan amalan memakai tudung kepala amalan kolot dan ketinggalan
zaman ataupun seseorang mengatakan fardu solat tidak wajib atas
dirinya.
Sekiranya sudah sampai kepada tahap pengingkaran, isunya bukan lagi
meliputi wilayah syariah, tetapi ia sudah memasuki perlanggaran dalam
wilayah akidah. Sedangkan perkara akidah ini merupakan pembeza antara
orang mukmin dengan orang kafir. Oleh kerana kewajipan menerapkan
syariah itu disandarkan kepada dalil-dalil yang qatie (sama ada qatie
al-tsubut atau qatie al-dalalah),
Sekiranya seseorang itu mengingkari kewajipan tersebut maka bererti
ia telah mengingkari ayat-ayat tersebut. Penafian terhadap sebahagian
daripada ayat-ayat al-Quran sudah cukup untuk mengeluarkan seseorang
daripada keimanan.
Firman Allah Subhanahu Wa Taala:
إِنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِاللَّهِ
وَرُسُلِهِ وَيُرِيدُونَ أَنْ يُفَرِّقُوا بَيْنَ اللَّهِ وَرُسُلِهِ
وَيَقُولُونَ أُولَئِكَ هُمُ. نُؤْمِنُ بِبَعْضٍ وَنَكْفُرُ بِبَعْضٍ
وَيُرِيدُونَ أَنْ يَتَّخِذُوا بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا الْكَافِرُونَ
حَقًّا وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُهِينًا
Maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang kufur kepada Allah dan
Rasul-rasulNya, dan bermaksud membeza-bezakan antara (keimanan kepada)
Allah dan Rasul-rasul-Nya, dengan mengatakan: 'Kami beriman kepada yang
sebahagian dan kami kufur terhadap sebahagian (yang lain), serta
bermaksud (dengan perkataan itu) mengambil jalan (tengah) di antara
yang demikian (iman atau kafir), merekalah orang-orang kafir yang
sebenarnya. Dan Kami telah menyediakan untuk orang-orang kafir itu azab
yang menghinakan."
(Surah al-Nisa (4) ayat 150-151)
Allah Subhanahu Wa Taala juga berfirman:
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ
وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ
إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ
يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا
تَعْمَلُونَ
Maksudnya : "Adakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab (Taurat)
dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Maka tidak ada balasan bagi
orang-orang yang berbuat demikian di antara kamu melainkan kenistaan
dalam kehidupan di dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan
kepada azab yang paling berat. Allah tidak alpa daripada apa yang kamu
kerjakan."(Surah al-Baqarah (2) ayat 85).
Demikianlah pendapat para ulama ketika menjelaskan makna ayat tersebut. Ibnu Abbas menyatakan:
. وَمَنْ أَقَرَّ بَهَ وَلَمْ يَحْكُمْ، فَهُوَ ظَالِمٌ فَاسِقٌ . مَنْ جَحَدَ مَا أَنْزَلَ اللهُ فَقَدْ كَفَرَ
"Barangsiapa yang mengingkari apa yang diturunkan oleh Allah,
sesungguhnya dia telah kafir. Dan barangsiapa yang mengakuinya (yakin
akan kebenaran hukum Allah) namun tidak berhukum dengannya, maka dia
adalah zalim, fasik."
Ikrimah juga bersependapat dengan pendirian tersebut. Beliau menyatakan:
Firman Allah Subhanahu Wa Taala :
{وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ الله}
Maksudnya : "Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah."
Itu mencakupi mereka yang mengingkari di hatinya dan mendustakan
dengan lisannya. Adapun orang yang mengakui di hatinya tentang
kebaikannya sebagai hukum Allah, serta membenarkan dengan lisannya
tentang kebaikannya sebagai hukum Allah, namun dia meninggalkannya
(dari segi perbuatan), maka dia tidak termasuk dalam rangkuman ayat
ini.
Pendapat Ikrimah ini juga dinyatakan oleh Fakhruddin al-Razi sebagai
jawapan yang sahih. Syeikh Taqiuddin an-Nabhani dan Abdul Qadim Zallum
dalam Nizam al-Hukm fi al-Islam menukilkan:
''Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan sultan dan penguasa
untuk berhukum dengan apa yang Allah Subhanahu Wa Taala turunkan kepada
RasulNya; dan menjadikan orang yang tidak berhukum dengan apa yang
Allah turunkan sebagai orang kafir seandainya dia meyakininya (iaitu
meyakini hukum selain hukum Allah), atau meyakini bahawa apa yang Allah
turunkan itu tidak layak untuk dilaksanakan; dan Allah menjadikannya
sebagai orang yang berbuat kemaksiatan, fasik, dan zalim jika berhukum
dengan selain daripada apa yang Allah turunkan tetapi hatinya masih
yakin kebaikan hukum-hukum Allah SWT.
Sejajar dengan huraian yang telah diberikan, jelaslah bahawa status
kafir jatuh kepada orang yang mengingkari kebenaran, kelayakan, dan
kewajipan berhukum dengan hukum Allah Subhanahu Wa Taala. Namun jika ia
masih meyakini kebenaran, kelayakan, dan kewajipan berhukum dengan
hukum Allah, statusnya jatuh kepada zalim dan fasik.
Sahabat yang dikasihi,
Perbuatan tidak berhukum dengan hukum Allah akan hanya menyebabkan
pelakunya beroleh kerugian dan kesengsaraan. Ini adalah kerana, hanya
terdapat tiga kedudukan bagi golongan tersebut, iaitu sama ada kafir,
zalim, atau fasik (lihat Surah al-Maidah 95) ayat 44, 45, 47).
Semestinya status kafir menjadi sesuatu yang paling dikhuatiri,
kerana ia akan menyebabkan seluruh amal perbuatan manusia terhapus dan
sia-sia di sisiNya.
Firman Allah Subhanahu Wa Taala:
يَعْمَلُونَ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآَيَاتِنَا وَلِقَاءِ الْآَخِرَةِ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ هَلْ يُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كَانُوا
Maksudnya : "Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan
(mendustakan) adanya pertemuan akhirat, sia-sialah perbuatan mereka.
Mereka tidak diberi balasan selain daripada apa yang telah mereka
kerjakan."(Surah al-Araf (7) ayat 147)
Oleh itu perlulah kita membetulkan kefahaman dan keyakinan kita
terhadap hukum-hukum Allah SWT. Pemimpin Islam perlu berhati-hati dalam
memberi komen atau pandangan mengenai hukum-hukum Allah kerana jika
tersilap komen amat merbahaya kerana ianya akan termasuk di dalam
wilayah akidah begitu juga jika ada sesiapa dikalangan umat Islam cuba
mempertikaikan hukum hudud, qisas dan diyat boleh menjejaskan akidah
terhadap Allah Subhanahu Wa Taala.
Betapa besarnya ancaman tersebut, maka siapakah lagi yang masih berani untuk menafikan syariahNya? Wallahualam bi al-sawab.